Berubat perlu ikut batasan ajaran Islam

Titisan Harapan: Berubat perlu ikut batasan ajaran Islam
Oleh Karim Sulaiman

MELIHAT keadaan fizikal dan kesihatan saya, ramai bertanya – tidak berubat kampung? Tidak kurang bertanya, tidak cuba rawatan secara Islam? Ada yang mengesyorkan supaya saya mengambil makanan kesihatan sampingan.

Saya faham mengapa mereka bertanya demikian, mungkin menyangka saya hanya mendapat rawatan di hospital semata-mata. Ada yang mendakwa saya tidak yakin dengan rawatan lain. Senang cerita pada firasat saya, mereka ingin berkata penyakit ini disebabkan buatan orang atau terkena gangguan makhluk halus.

Saya bukan tidak percaya dengan perkara ini. Malah, sejak sakit berpuluh-puluh tempat saya pergi untuk berubat. Saya reda, belum bertemu jodoh dengan penawarnya. Saya tidak pernah berputus asa dan terus berusaha supaya sembuh – tidak kira berubat di hospital, rawatan tradisional atau Islam. Cakap apa saja rawatan yang saya tidak buat.

Bukan setakat secara tradisional Melayu dan Islam, malah pernah mencuba rawatan perubatan Cina. Namun, saya begitu, berhati-hati dalam memilih cara rawatan kerana bimbang tersalah tempat dan orang yang mengubatinya. Perkara utama, saya mahu memastikan bahawa rawatan itu tidak menyalahi ajaran Islam.

Saya berpegang berubat kerana Allah. Saya membuat rujukan dengan berpandukan Garis Panduan Perbomohan Mengikut Islam yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Selain itu, Jakim ada mengeluarkan garis panduan mengenai khurafat dan azimat sewaktu berubat. Saya juga mendapatkan pandangan dan penjelasan guru agama sebelum mendapat dan meneruskan rawatan secara tradisional atau yang didakwa mengikut cara Islam.

Di dalam garis panduan itu disebut bahawa Islam menitikberatkan soal akidah, syariah dan akhlak. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber asal al-Quran, hadis, ijmak dan qias adalah ditolak. Dalam urusan perubatan kepada pesakit, satu perkara perlu diingat oleh semua pihak, bahawa hanya Allah berkuasa mutlak menentukan sesuatu dan menjadikannya, lebih-lebih lagi sakit dan sembuh adalah haknya.

Manusia hanya disuruh berusaha dan berikhtiar. Garis panduan itu turut menekankan perkara yang perlu diberi perhatian supaya tidak bercanggah dengan ajaran Islam iaitu :-l Tidak menggunakan sihir, ilmu hitam, tilik, tenung nasib, nujum, ramalan tapak tangan, astrologi atau ramalan menggunakan buruj bintang dan silap mata;

l Tidak mengaitkan pengeras atau bayaran dengan sesuatu dan meminta pengeras atau perkhidmatan yang tinggi dan melampau;

l Tidak percaya kepada fahaman sesuatu boleh membawa sial dan mudarat menimpa seseorang;

l Tidak melakukan perkara syirik, khurafat dan bidaah yang keji seperti sembah pantai, sembelih binatang untuk korban dan buang ancak;

l Tidak menyembelih binatang sebagai korban selain untuk Allah dan bukan untuk tujuan yang bukan syarie;

l Tidak mengamalkan amalan atau bacaan tertentu menggunakan unsur meminta izin serta bantuan daripada makhluk halus sebagai khadam;

l Tidak menyajikan makanan untuk menjamu penunggu atau jin yang tinggal di sesuatu tempat;

l Tidak mentaati bomoh atau seseorang pengubat pada sesuatu perkara yang jelas bercanggah dengan akidah dan syariat Islam. Matlamat tidak menghalalkan cara. Meskipun bertujuan baik seperti penggunaan haikal/jaljalut untuk menangkis serangan musuh, ilmu guna-guna, pencuri, kebakaran jin dan sebagainya. Isi kandungan haikal ini bertentangan akidah seperti mempercayai ada sesuatu yang dapat memberi manfaat dan menolak bencana, dan

l Menolak syarat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akidah Islam.

Saya berpegang kepada garis panduan itu sewaktu mendapatkan rawatan secara tradisional atau perbomohan. Namun, dalam berhati-hati pun ada kalanya kita tidak dapat mengelak daripada berjumpa dengan tukang ubat tidak mengamalkan cara rawatan Islam sebenarnya.

Kadang-kadang kita hanya mendengar daripada orang lain bahawa tukang ubat itu menggunakan rawatan secara Islam. Tetapi, apabila berubat sendiri, barulah tahu cara rawatannya. Jika saya mendapati cara rawatannya tidak berlandaskan Islam, itulah kali terakhir bertemunya.

Bagi saya jika hendak sembuh sekalipun, jangan sampai melakukan atau terjebak dengan perkara atau unsur yang menyalahi ajaran Islam. Namun, kita tidak boleh berputus asa kerana setiap penyakit yang diturunkan Allah kepada kita ada penawarnya.

Published in: on Februari 27, 2010 at 1:49 am  Tinggalkan Komen  

The URI to TrackBack this entry is: https://husainputeh.wordpress.com/2010/02/27/berubat-perlu-ikut-batasan-ajaran-islam/trackback/

RSS feed for comments on this post.

Tinggalkan komen